suria

Mayat Wanita Diterbangkan ke Jerman Rabu Malam

KOTA KINABALU: Mayat pelancong wanita warga Jerman, yang maut selepas terjatuh dari puncak Gunung Kinabalu dengan ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut pada Isnin lepas, dijangka diterbangkan ke negara asalnya Rabu malam.

Mayat Victoria Paulsen, 22, dibawa ke Kolombong Funeral Parlor di Jalan Lintas di sini dari Hospital Queen Elizabeth pada 12.20 tengah hari Rabu bagi pengurusan mayat.

Mayatnya siap dibedah siasat di hospital itu petang Selasa.

Jurucakap rumah pengurusan mayat itu berkata mayat wanita berkenaan akan diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 7 malam ini.

Ketika kejadian kira-kira 6 pagi itu, mendiang Paulsen yang menuntut di Universiti Xiamen, China, dikatakan bersama rakan-rakannya sedang menunggu matahari terbit di puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.

Laporan bedah siasat awal mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian tempurung kepalanya akibat hentakan kuat selepas terjatuh daripada satu puncak di gunung itu yang dikenali sebagai 'Low Peak' pada ketinggian dianggarkan 30 meter.

Ketua Polis Daerah Ranau DSP Abdul Rahman Kassim berkata setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Gunung Kinabalu, yang terletak di Ranau, merupakan gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Digilis Kereta Api

Artikel Lain