suria

Jadi MB Selangor, Kemungkinan Itu Ada - Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberi bayangan beliau akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Beliau, melalui temubual eksklusif bersama 'Sinar Harian' berkata, perkara itu bagaimanapun perlu dibincang bagi mendapatkan pemuafakatan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Kemungkinan itu ada. Kita kena bincang ikut proses Pakatan.

"Ada urusan berkenaan dengan Tuanku (Sultan Selangor) kerana isu Perlembagaan ini bukan hanya naik mahkamah saja," beliau dipetik sebagai berkata, Khamis.

Beliau yang ditemui di Ibu Pejabat PKR itu kemudian sekali lagi menegaskan bahawa "kemungkinan itu ada."

Anwar sebelum ini berkata dakwaan beliau akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor hanyalah spekulasi.

"Cara kita berbeza dengan institusi raja dan saya sudah ada pengalaman. Saya tidak mahu ulas kedudukan saya," ujarnya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menegaskan bahawa sebarang jawatan, termasuk jawatan menteri besar Selangor mempunyai penyandang yang tidak tetap.

“Ya (ada yang ganti), ia bukan jawatan tetap (Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim). Bukan saja berlaku dalam politik, malah dalam dunia sekali pun.

"Kita tidak akan beri jaminan itu (kekal). (Jawatan menteri besar) itu kita akan bincang cari jalan yang terbaik," katanya dalam nada berbeza.

Mengenai PRK Kajang beliau berkata sama ada beliau, ataupun Pakatan Rakyat tidak menganggap mudah mendapat kemenangan.

Justeru, beliau akan turun berkempen sebagai seorang calon.

“Saya akan turun bawah jumpa rakyat. Kalau bertanding, saya bukan Ketua Umum, saya hanya calon.

"Di Permatang Pauh, saya turun rata kedai kopi. Kalau saya balik, ada orang meninggal, jam 1 atau 2 pagi pun saya akan melawat. InsyaAllah, kalau saya menang di Kajang pun, saya kena jadi macam itu. Nasib baik Kajang, dekat dengan rumah saya Segambut,” katanya.

PRK Kajang diadakan selepas Adun PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan secara mengejut, 27 Januari lalu.

Keesokan harinya, Abdul Khalid mengumumkan Anwar dipilih sebagai calon PRK kerusi Dun berkenaan menyebabkan timbul spekulasi bahawa Anwar bakal menggantikan Abdul Khalid di Selangor.

Artikel Lain