suria

Masjid Perlu Berhati-Hati Pilih Penceramah

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan pengurusan masjid di negeri ini memilih penceramah yang bertauliah dan diiktiraf untuk menyampaikan ceramah.

Baginda bertitah jawatankuasa masjid perlu terlebih dahulu merujuk dengan pihak berkuasa sebagai langkah untuk mencegah penyebaran ajaran sesat mahupun dakyah palsu.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian semasa merasmikan Masjid Al-Shakur, Kampung Permatang Bongor, Sanglang dekat sini malam Rabu.

Baginda bertitah isu berkenaan perlu diberi perhatian dalam usaha memelihara perpaduan daripada diresapi unsur jahat yang boleh memecah-belahkan umat Islam.

"Beta ingin mengingatkan semua pegawai dan anggota jawatankuasa masjid agar menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh komitmen, efisien dan seiring dengan kemajuan semasa.

"Janganlah ada di kalangan anggota jawatankuasa masjid mahupun warga masjid gemar mengambil tindakan dan membuat keputusan secara individu yang akhirnya memudarat dan merosakkan imej institusi masjid itu sendiri," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) menegaskan setiap keputusan hendaklah dibuat secara kolektif atau musyawarah agar ia memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Menguruskan masjid adalah tugas yang mulia warisan para nabi dan besar ganjarannya. Laksanakanlah dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar untuk mengisi masa lapang atau sambil lewa," titah baginda.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Azlan Man dan isteri Nor Aswana Omar, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Hamdan Bahari dan Exco Agama Islam Negeri Khairi Hassan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain