suria

Kapasiti Pusat Tahanan Pati Capai 50,000 Orang - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid.

BAGAN DATOH: Keupayaan pusat tahanan menampung pendatang tanpa Izin (Pati) yang ditahan tidak perlu dipersoal kerana kapasitinya boleh mencapai 50,000 orang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, beliau berkata, Ops 6P di bawah Program Khas Pengurusan Pati (PKPP) perlu diteruskan meskipun pada musim perayaan.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak kedutaan dan syarikat untuk menghantar Pati itu pulang.

"Maksimum hanya tujuh hari untuk Pati berkenaan ditahan di semua tempat tahanan. Oleh itu, tidak timbul soal ketidakcukupan tempat yang diwarta sebagai tempat tahanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pusat sumber di bawah projek tanggungjawab sosial korporat Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di sini, Ahad.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi atau memberi ruang kepada mana-mana pihak yang ingin melanjutkan PKPP kerana telahpun memberi masa secukupnya kepada majikan untuk mendokumentasi pekerja asing mereka mengikut prosedur yang betul.

Mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) lebih telus dalam menahan PATI, beliau berkata, pihaknya mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap.

"Saya sendiri turun ke bawah bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah Imigresen, Ketua Pengarah RELA dan juga ketua penguatkuasa lain.

"Apa yang dilakukan ialah pekerja asing ini dikumpul ke satu tempat dan ditanya sesiapa yang mempunyai dokumen akan ke satu barisan, dan mereka akan diperiksa terlebih dahulu.

"Pemeriksaan itu tidak mengambil masa lebih satu jam untuk semua sekali, dan mereka yang tidak mempunyai dokumen juga diasingkan ke tempat lain, tetapi mereka yang mendakwa dokumen ada pada majikan, kita panggil majikan," katanya.

Beliau juga berkata, mana-mana Pati atau majikan yang mendakwa ditipu agensi pekerja asing, boleh mengemukakan bukti bahawa bayaran telahpun dibuat dan rayuan boleh dikemuka kepada bahagian pekerja asing di KDN bagi membolehkan dokumen berkaitan dikeluarkan kepada mereka. - BERNAMA

Artikel Lain