suria

Kementerian Perlu Siasat Ugutan Guru Tanggal Tudung - Hahasrin

Hahasrin Hashim
Hahasrin Hashim

JOHOR BARU: Pergerakan Pemuda Umno Johor menggesa Kementerian Pendidikan menyiasat tindakan seorang jemaah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya Telok Sengat di Kota Tinggi, Johor yang mengarahkan seorang guru beragama Islam menanggalkan tudung ketika mengajar.

Ketuanya, Hahasrin Hasim berkata, Pemuda Umno Johor juga selain itu menuntut Kementerian Pendidikan menyiasat mengenai ugutan yang dikenakan terhadap guru itu jika dia mengingkari arahan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya kesal dengan tindakan guru tersebut yang berdiam diri walaupun berdepan dengan tindakan terkutuk yang dilakukan jemaah sekolah berkenaan.

"Kami berpendapat bahawa hak seseorang penganut Islam untuk mengamalkan ajaran Islam di negara ini telah dicabul selain menunjukkan bahawa pihak berkenaan tidak lagi menghormati Islam.

"Tindakan itu telah membangkitkan kemarahan masyarakat di negeri ini dan berikutan itu Pemuda Umno mahu Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan segera sebelum mengambil tindakan tegas yang setimpal dengan peruntukan undang-undang yang ada," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, Pemuda Umno Johor menolak kes tersebut diselesaikan dengan permohonan maaf kerana kerana ia melibatkan agama, selain pihak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah.

Hahasrin berkata, pihaknya juga mencabar PAS yang kononya memperjuangkan Islam untuk tampil memperjuangkan isu tersebut daripada terus mendiamkan diri dan menjadi mangsa kerakusan DAP.

"Pemuda Umno Johor juga ingin menyeru kepada semua pemimpin politik termasuk daripada pembangkang untuk mencontohi ketegasan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam menjaga kesucian Islam di negeri itu.

"Keberkesanan pentadbiran Islam di Johor terbukti apabila Mohamed Khaled menukar kembali cuti minggu daripada hari Ahad kepada hari Jumaat bermula tahun ini," katanya.

Menurut Hahasrin, pihaknya juga menyeru seluruh rakyat supaya sentiasa menjaga keharmonian antara agama dan kaum yang telah wujud sejak dahulu kerana ia merupakan resipi kepada kejayaan yang dikecapi negara pada hari ini.

Sementara itu, guru berkenaan dilaporkan telah pun dipindahkan (secara sementara) ke sebuah sekolah lain di Daerah Kota Tinggi sementara menunggu Jabatan Pendidikan Negeri selesai menjalankan siasatan.

Timbalan Pengarahnya, Md Hasidin Zaini turut mengesahkan yang pihak mereka telahpun menerima laporan mengenai insiden tersebut.

Beliau juga mengesahkan yang guru berkenaan turut membuat laporan polis berhubung apa yang terjadi ke atasnya.

Pada masa yang sama, Exco Pendidikan Negeri, Md Jais Sarday berkata, untuk seorang guru memakai tudung adalah sesuatu yang sudah sekian lama diterima malah semua guru telah disarankan supaya memakai pakaian yang sesuai dan sopan ketika mengajar.

“Pihak Jabatan akan mengendalikan perkara ini secara berhemah dan isu ini tidak perlu lagi diperbesarkan,” ujarnya.

Artikel Lain