suria

Pemilik Kedai Cuci Kenderaan Didakwa Tetak Dan Simbah Asid

KOTA BHARU: Seorang pemilik kedai mencuci kenderaan pada Ahad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan parah dan menyimbah asid pada 2011 dan 2012.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh Mohd Nurfino Omar, 30, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menetak seorang pengusaha hotel Abdul Aziz Dollah, 50, menggunakan parang di sebuah hotel di Jalan Sri Cemerlang, antara 1.30 tengah hari dan 4 petang pada 19 Jun 2011.

Pertuduhan kedua, dia didakwa bersama tiga orang yang masih bebas menetak dan menyimbah asid terhadap seorang penjaga bot, Mohd Khaidzir Hanafi, 33, di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Purut, Nilam Puri di sini antara 12.30 tengah malam dan 1 pagi, pada 13 Februari 2012.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin memohon tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan dengan alasan apa yang dilakukan itu adalah serius.

Peguam tertuduh Latifah Ariffin memohon jaminan dibenarkan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh tidak memiliki sebarang rekod lampau.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Yusoff Yunus tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain