suria

Pemuda Nyaris Maut Ditikam Seorang Lelaki

KOTA BAHARU: Seorang pemuda berusia 26 tahun nyaris maut selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki yang berang kerana mendakwa isterinya dirogol oleh mangsa berkenaan beberapa bulan lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 9.45 malam pada Isnin, mangsa cedera di paha kiri dan tapak tangan kirinya selepas ditikam lelaki tersebut, ketika sedang bersembang dengan beberapa rakannya di sebuah kedai burger di Bachok.

"Punca kejadian - suspek mengesyaki mangsa bersama seorang kawannya merogol isteri suspek pada Oktober lepas.

"Bagaimanapun tiada laporan polis dibuat oleh pihak suspek sebelum ini berkaitan kejadian tersebut.

"Mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, katanya.-BERNAMA

Artikel Lain