suria

Kualiti Pendidikan: Benarkan Kami Rakyat Jelata Sama Bantu Baiki Mutu

KEPUTUSAN PISA (Programme for International Student Assessment) yang terbaru amat membimbangkan. Ujian PISA, bersama-sama satu lagi ujian iaitu TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) dianggap sebagai penanda aras global dalam menentukan kualiti pendidikan sesebuah negara.

Malaysia mengambil bahagian dalam kedua-dua TIMMS dan PISA. Kerajaan telah mengumumkan bahawa mereka mahu Malaysia memasuki kumpulan teratas dalam ujian global ini. Cita-cita ini merupakan satu cita-cita yang amat mencabar kerana kita baru sahaja diletakkan dalam kedudukan ke-52 daripada 65 negara. Ya, kita menduduki kumpulan hampir tercorot.

Keputusan PISA ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita berada dalam krisis. PISA menguji pelajar berumur 15 tahun, iaitu umur pelajar mengambil peperiksaan PMR. Dalam peperiksaan PMR baru-baru ini, lebih ramai pelajar mendapat keputusan yang baik dan sekitar 7 peratus mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Pencapaian dalam peperiksaan PMR inilah yang menunjukkan betapa seriusnya krisis pendidikan kita. Apa tidaknya. Pelajar kita boleh mendapat keputusan yang baik dalam PMR tetapi apabila dibandingkan dengan kumpulan umur yang sama daripada negara-negara lain, maka para pelajar kita berada di kedudukan hampir tercorot.

Bagaimanakah ini mungkin berlaku?

Jawapannya ialah sistem sekolah kita. PISA menguji kebolehan para pelajar mengaplikasikan ilmu. PISA bukan menguji sebanyak mana maklumat yang ada dalam otak tetapi ia menguji kebolehan untuk berfikir.

Jadi, keputusan PISA baru-baru ini menunjukkan bahawa sistem persekolahan kita melahirkan pelajar yang boleh menghafal maklumat tetapi tidak boleh berfikir!

Untuk mendalami krisis pendidikan ini, Kementerian Pelajaran perlu berkongsi dengan rakyat maklumat terperinci mengenai keputusan PISA.

Di antara sekolah-sekolah yang terpilih untuk mengambil ujian PISA, kita perlu tahu sekolah manakah yang mendapat tempat teratas. Ketua Pengarah Pelajaran yang baru, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof ada menyebut bahawa terdapat sekolah kita yang sama baik dengan sekolah terbaik di dunia. Jadi kita perlu tahu adakah ini merupakan sekolah swasta yang terletak di kawasan bandar seperti Kota Damansara atau adakah ia sekolah luar bandar di Behor Pulai?

Kita juga perlu tahu jika ada permata-permata berharga di kalangan sekolah-sekolah kita. Contohnya, wujudkah Sekolah Menengah Teknik yang mencapai prestasi lebih baik daripada Sekolah Menengah Kebangsaan biasa? Jika ada, maka kita mesti mengkaji apa yang telah dilakukan oleh Sekolah Teknik itu.

Satu lagi ialah mengenai perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. Memang mudah untuk membayangkan bahawa kebanyakan daripada 10 sekolah terbaik terletak di kawasan bandar. Tetapi jika pembahagian di kalangan 10 sekolah terendah adalah lebih kurang sama rata, maka sudah pastilah ada kajian-kajian menarik yang boleh dijalankan.

Ini kerana keputusan PMR baru-baru ini menunjukkan seolah-olah perbezaan antara kawasan bandar dengan luar bandar sudah mengecil. Gred purata kawasan bandar ialah 2.56 tetapi di luar bandar 2.81. Adakah ini disahkan oleh PISA juga?

Saya rasa jika sekolah-sekolah yang mengambil PISA dibahagikan mengikut kategori, maka sekolah swasta termasuk sekolah Cina swasta, sekolah-sekolah berasrama penuh dan Maktab-Maktab Rendah Sains MARA akan menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding Sekolah Menengah Kebangsaan.

Biasanya autonomi dan kuasa memilih pelajar akan membolehkan sekolah-sekolah mencapai keputusan yang lebih baik. Tetapi kita memerlukan data PISA untuk memeriksa perkara ini.

Sebenarnya memang ada cara mudah untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam ujian PISA (dan TIMMS) yang akan datang. Kedua-dua ujian ini dijalankan mengikut jadual yang tetap. Sekolah dan pelajar dipilih beberapa bulan sebelum ujian dijalankan. Jadi, jika kita mahu mendapat pencapaian lebih baik, maka tumpukan sahaja kepada sekitar 5,000 pelajar yang dipilih. Latihlah mereka untuk menjawab dengan baik.

Tetapi tindakan sebegitu akan menyebabkan tiada faedah mengambil ujian seperti TIMMS dan PISA. Ujian itu sepatutnya menunjukkan pencapaian kita berbanding negara-negara lain. Jika kita melakukan tindakan yang menyelewengkan keadaan sebenar, mana apa faedahnya mengambil bahagian?

Melatih hanya 5,000 pelajar mungkin akan membolehkan kita naik dalam ujian PISA, tetapi adakah itu bermaksud telah berlaku penambahbaikan dalam keseluruhan sistem pendidikan negara?

Sekali lagi, ketelusan adalah penting. Rakyat mesti diberitahu bagaimana kerajaan mahu memperbaiki kedudukan negara dalam ranking PISA. Hanya itu sahaja yang akan membolehkan kita tahu sama ada keputusan kerajaan adalah betul atau salah.

Kementerian Pelajaran mestilah tidak bersikap defensif dalam menangani krisis pendidikan yang sedang kita alami ini. Mesej saya kepada mereka yang berkuasa mudah sahaja. Bukalah pintu dan hati untuk membolehkan ibu bapa dan lain-lain pihak sama-sama membantu anda.

Anda tidak keseorangan dalam usaha ini. Benarkanlah kami semua membantu anda dan mulakanlah dengan memberikan kami semua maklumat yang berkaitan.

> Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my)

Artikel Lain