suria

Najib Ketuai Delegasi Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-10

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-10 di Jakarta selama dua hari mulai Rabu, yang antara lain akan menilai perkembangan kerjasama dua hala kedua-dua buah negara.

Menurut kenyataan Wisma Putra pada Selasa antara agenda utama Rundingan Tahunan kali ini adalah perkembangan kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk perdagangan dan pelaburan, keselamatan, alam sekitar dan hubungan di peringkat rakyat.

Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Dr Susilo Bambang Yudhoyono bagi meneroka potensi baharu ke arah memperkukuhkan perkongsian yang akan memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang penting kepada kedua-dua negara, menurut kenyataan itu.

Najib akan diiringi isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan delegasi itu turut disertai beberapa menteri Kabinet serta pegawai kanan dari pelbagai kementerian dan agensi.

Kenyataan bersama akan dikeluarkan susulan Rundingan Tahunan ke-10 itu, menurut Wisma Putra. - BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain