suria

Kematian Tiga Beradik: Polis Minta Pihak Ada Maklumat Tampil Bantu Siasatan

ALOR SETAR: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kematian tiga beradik dari Jalan Datuk Kumbar di sini agar tampil memberi kenyataan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata pihaknya mendengar banyak 'cakap-cakap belakang' mengenai kes itu namun tiada yang tampil memberi maklumat terbabit.

"Apabila bercerita di belakang, pihak polis tidak boleh membantu kerana tidak mengetahui perkara yang sebenar," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata polis juga bersedia berjumpa dengan sumber jika sumber itu mempunyai bukti positif.

Mengenai perkembangan kes, Ahmad berkata pihaknya masih meneliti maklumat yang diperoleh setakat ini selain terus mencari petunjuk baharu.

"...setakat yang kita ketahui hasil bedah siasat sebelum ini telah menunjukkan bahawa tiada kesan rogol atau racun dalam badan mereka," katanya.

Dalam kejadian itu, mayat Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui di kawasan bendang di Alor Senibong pada 30 Nov manakala mayat adiknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui di terusan Mada di Kampung Padang Tani, dekat Alor Semela pada 1 Disember.

Terdahulu Ahmad merasmikan majlis penutup 'Seminar Kesedaran Membanteras Jenayah Terhadap Wanita' yang dianjur bagi memberi kesedaran kepada golongan wanita mengenai trend jenayah di Malaysia.

"Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita mengenai gejala jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak kerana golongan inilah yang sering menjadi mangsa jenayah.

"Ramai wanita tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan sekiranya menjadi mangsa jenayah. Jadi kita mahu mereka tahu bahawa mereka tidak boleh berdiam diri, sebaliknya mempunyai hak untuk melapor kepada pihak polis," katanya.

Katanya seminar itu akan diteruskan setiap tahun selepas mendapat sambutan baik daripada golongan wanita yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain