suria

Dr Khatijah Terima Anugerah Tertinggi Pendidikan Australia

KUALA LUMPUR: Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, menerima Anugerah Pencapaian Pendidikan Australia 2013.

Khatijah, alumni La Trobe University, Melbourne, merupakan seorang daripada tiga penerima anugerah yang disampaikan Malaysian Australian Alumni Council (MAAC) di jamuan gala di JW Marriott Hotel di sini malam Isnin.

Anugerah Usahawan Muda Australia diraih Hong Yi, seorang artis-arkitek, lulusan University of Melbourne.

Anugerah Bahagian Alumni Australia dimenangi Lai Tze May, seorang alumni University of Newcastle, yang menubuhkan alumni alma mater beliau di Malaysia.

Kesemua anugerah berkenaan disampaikan bersama oleh Presiden MAAC Pat Yeoh dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Miles Kupa.

"Kami menerima lebih 30 pencalonan. Nama 12 calon terbaik diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi Australia yang memilih finalis," kata Teoh, lepasan University of New England.

Satu lagi kemuncak malam gala itu, yang dihadiri lebih 400 jemputan, adalah pelancaran beberapa siri log video (vlog) tentang kejayaan alumni Malaysia Australia.

Setiap vlog memaparkan kejayaan warga Malaysia yang secara jujur berkongsi pengalaman mereka mengikuti pengajian di Australia dan bagaimana ia melakar kerjaya mereka.

Vlog berkenaan akan dimuatkan dalam laman web MAAC minggu depan.

MAAC adalah pertubuhan kebangsaan persatuan alumni pengajian tinggi Australia di Malaysia.

Pertubuhan itu bermatlamat memberi kemudahan kepada alumni Malaysia Australia dalam tiga bidang teras hubungan alumni, pendidikan dan kebajikan, serta hubungan dua hala.

Laman webnya adalah www.emaac.org. - BERNAMA

Artikel Lain