suria

Puteri Umno Mahu Jadi 'Trending' Di Kalangan Wanita Muda

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin berazam menjadikan sayap itu sebagai 'trending' terutama di kalangan wanita muda.

Beliau berkata azam menjadikan Puteri sebagai sayap parti yang kuat bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

"Saya ingin Puteri dilihat oleh wanita muda di luar sana sebagai satu sayap yang kuat.

"Apabila ramai yang mendaftar sebagai ahli, Puteri akan menjadi 'trending' di kalangan wanita muda...maknanya pada satu tahap kalau ditanya sudahkah kamu menjadi ahli Puteri, kalau mereka kata tidak mereka seolah-olah ketinggalan," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini, Sabtu.

Beliau berkata Puteri kini mempunyai seramai 368,481 ahli dan menyasarkan keahlian seramai 500 ribu.

Katanya angka itu tidak mustahil dengan usaha dan gerak kerja yang telah dan sedang dijalankan oleh sayap itu selain sokongan dan bantuan daripada sayap Pemuda dan Wanita.

Beliau juga mencadangkan supaya mereka yang berumur 19-35 tahun diberi keahlian secara langsung.

Menyentuh mengenai penglibatan mahasiswa yang diberi ruang dan peluang berbahas pada perhimpunan kali ini, beliau berkata langkah itu menunjukkan bahawa Umno bersifat terbuka.

"Saya gembira dengan penyertaan mereka dalam perbahasan kali ini, menolak dakwaan bahawa Umno bersifat eksklusif bukan inklusif.

"Kita gunakan pelajar-pelajar ini untuk mereka sedar, untuk dapatkan ilmu politik dan timba pengalaman bersama pemimpin negara.

"Bukan seperti orang sebelah sana yang guna anak muda ini untuk buat demonstrasi jalanan seperti mereka," katanya.

Dalam ucapannya, beliau juga menggesa supaya semua ahli-ahlinya rajin bekerja menjelang pilihan raya akan datang.

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain