suria

Mangsa Banjir Tidak Perlu Bimbang - Ketua Polis Johor

JOHOR BAHARU: Mangsa banjir yang berada di pusat-pusat pemindahan sementara diminta supaya tidak bimbang dengan keselamatan harta benda termasuk kediaman mereka kerana polis sentiasa mengawasi premis-premis yang terlibat dengan bencana itu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mohtar Mohd Shariff berkata arahan sudah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Daerah di negeri ini supaya mengawasi kediaman yang terlibat dengan banjir dan melakukan rondaan dengan kerap.

"Polis juga menempatkan balai polis bergerak di pusat-pusat pemindahan banjir bagi memudahkan mangsa banjir membuat sebarang laporan dan aduan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, Khamis.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi keselamatan yang terlibat dengan bantuan banjir supaya berpindah ke kawasan selamat tanpa berasa bimbang dengan keselamatan harta benda mereka.

Katanya, orang ramai juga diingatkan tidak menjadikan banjir sebagai 'pesta air' dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menurut Mohd Mokhtar, seramai 8,746 mangsa melibatkan 2,381 keluarga berada di 68 pusat pemindahan banjir di enam daerah di negeri ini sehingga pagi Khamis.

"Bilik Gerakan Banjir sudah beroperasi sejak dua hari lepas. Selain menggerakkan bot dan kenderaan berat, polis dengan agensi yang terlibat akan meminta bantuan dari kontinjen negeri lain sekiranya keadaan memerlukan," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain