suria

Polis Kesal Pihak Tertentu Cuba Sabotaj Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kesal dengan tindakan pihak tertentu cuba sabotaj ekonomi negara dengan memberikan imej buruk keadaan keselamatan negara ini ekoran insiden terpencil pembunuhan dan penculikan di Semporna, Sabah baru-baru ini.

Hakikatnya, beliau berkata sektor pelancongan di Sabah dan seluruh negara pada keseluruhannya tidak terjejas malah keyakinan pelabur-pelabur asing masih utuh terhadap keselamatan di negara ini.

Beliau berkata pihak luar dan di dalam negara membuat tindakan sabotaj tersebut melalui laman sosial. "Jangan sebar berita yang tidak betul mengenai negara ini di luar, keadaan keselamatan di negara kita cukup baik untuk dilawati. Kita tidak nampak apa-apa yang menjejaskan sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Ekonomi 2013 di sini, Rabu.

Pada 15 Nov lalu, seorang wanita pelancong Taiwan diculik dipercayai oleh sekumpulan pengganas dari negara jiran manakala teman lelakinya ditembak mati ketika mereka bercuti di Pulau Pom-Pom, Semporna.

Menjawab soalan daripada wartawan Taiwan mengenai perkembangan usaha membebaskan mangsa culik itu, Khalid enggan mendedahkan perkembangan itu dan menegaskan sekali lagi agar pihak media menghentikan laporan yang boleh mendedahkan identiti mangsa. "Sekali lagi saya minta anda, malah wartawan dari Taipei untuk tidak mendedahkan terlalu banyak maklumat mengenai mangsa, anda hanya beri lebih banyak maklumat kepada penculik, anda membantu mereka untuk membuat lebih banyak tuntutan, jadi tolonglah...kami sedang melakukan kerja kami," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Khalid memberi jaminan PDRM telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan keadaan keselamatan di negara ini adalah kondusif untuk pelabur-pelabur terutamanya daripada negara luar untuk melaburan di negara ini.

Katanya langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan dalam mengurangkan indeks jenayah seperti termaktub di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Khalid berkata antara usaha itu ialah melaksanakan Unit Rondaan Motosikal sebanyak 2,000 buah di seluruh negara, menyediakan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di setiap kawasan bandar utama dan kawasan kadar jenayah tinggi.

Selain itu menempatkan balai bergerak polis di kawasan perumahan dan pusat membeli belah sebagai langkah menambah kehadiran polis.

Polis juga telah melancarkan pelbagai operasi membanteras jenayah berat dan jenayah hartabenda termasuk Operasi Cantas bagi memburu kumpulan kongsi gelap, di seluruh negara, katanya.

Khalid berkata PDRM juga akan menjalin kerjasama dengan Dewan Perdagangan dan Industri Antrabangsa Malaysia (MICCI) untuk menerangkan pelbagai inisiatif polis bagi menjamin keselamatan pelabur-pelabur asing untuk melabur.

"Keselamatan negara kita cukup kondusif untuk pelabur-pelabur, dan yang telah melabur untuk tambah lagi pelaburan mereka di sini. "Ini apa yang saya katakan 'deficit of trust' iaitu khabar yang tidak benar disebarkan segolongan orang berkenaan keselamatan di negara kita walhal orang luar berpendapat sebaliknya.

"Ada pihak akan terpengaruh dengan hasutan orang-orang ini mengatakan kononnya keadaan keselamatan kita ini telah terlampau buruk, menakut-nakutkan sektor peniaga atau pelabur untuk datang melabur di sini. 'Deficit of trust' perlu kita perbetulkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain