suria

Hasil Taktik Baharu, Imigresen Kelantan Berkas 20 GRO Warga Asing

KOTA BARU: Bagi mengelakkan daripada dikesan oleh tonto ketika keluar melakukan operasi malam Khamis, Jabatan Imigresen Kelantan terpaksa menggunakan taktik baharu dengan menaiki bas ala rombongan.

Ketua Penguatkuasa Imigresen Kelantan Abdul Basek Abu Bakar berkata langkah itu diambil selepas beberapa serbuan di dua premis hiburan yang disasarkan di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang sebelum ini, gagal menemukan pelayan pelanggan (GRO) warga asing walaupun maklumat menyatakan sebaliknya.

"Kita memuatkan 20 pegawai dan anggota kita di dalam sebuah bas seolah-olah kita membuat rombongan ke satu perhimpunan di Kuala Lumpur dan di pertengahan jalan kita berpatah balik serta menyerbu kedua-dua pusat hiburan tersebut," katanya dalam sidang media, di sini Jumaat.

Hasil serbuan dari 9 malam hingga 5 pagi Jumaat itu pihaknya berjaya menahan 20 GRO warga asing berusia antara 15 dan 48 tahun, iaitu 18 warga Thailand dan dua dari Kemboja.

Bagaimanapun pemilik premis dan majikan mereka gagal dikesan, katanya.

Beliau berkata semua wanita terbabit akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

"19 daripada mereka akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan sosial, manakala seorang lagi akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas sah," katanya.

Beliau berkata sehingga Oktober lepas, pihaknya menahan 6,353 pendatang asing membabitkan pelbagai keselahan termasuk tidak mempunyai permit kerja, memasuki negara ini secara haram dan menyalah guna pas lawatan sosial. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain