suria

Pengerusi MIC Johor Baharu Tanding Jawatan Naib Presiden

S. Balakrishnan
S. Balakrishnan
S. Balakrishnan

JOHOR BAHARU: Pengerusi MIC Bahagian Johor Baharu Datuk S. Balakrishnan mengumumkan akan bertanding merebut jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu di Melaka, 30 November ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan sokongan padu daripada 212 perwakilan MIC dari Johor serta 26 bahagian di negeri itu.

S. Balakrishnan, 59, berkata tujuan beliau menawarkan diri untuk jawatan tersebut adalah bagi memastikan MIC negeri itu mempunyai wakil di peringkat tertinggi pusat sama seperti Umno dan MCA Johor.

"Saya yakin mampu mencipta kejutan dalam pemilihan kali ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan perwakilan MIC Johor di sebuah hotel di sini, malam Rabu.

Mesyuarat tersebut dan sidang media itu turut dihadiri oleh Pengerusi MIC Johor, Datuk K.S. Balakrishnan.

S. Balakrishnan berkata ini adalah percubaan kedua untuk bertanding tiga jawatan naib presiden selepas menduduki tempat keempat daripada lapan calon pada pemilihan 2009.

Dalam pada itu, K.S.Balakrishnan berharap perwakilan MIC terutama dari Johor akan memberi sokongan kepada Balakrishnan bagi menduduki jawatan itu.

Pada pemilihan parti 2009, tiga naib presiden yang dipilih ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam dilantik sebagai Timbalan Presiden selepas Datuk Seri G. Palanivel mengambil alih pucuk kepimpinan parti daripada Datuk Seri S. Samy Vellu pada Oktober 2010.

Penamaan calon bagi jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan diadakan Sabtu ini.

Devamany dan Saravanan turut mengumumkan akan mempertahankan jawatan masing-masing. Selain S.Balakrishnan, calon lain yang telah menawarkan diri untuk jawatan tersebut setakat ini ialah bekas naib presiden Datuk S. Sothinathan dan Ketua Pemuda MIC, Datuk T. Mohan. - BERNAMA

Artikel Lain