suria

Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2013 Di Johor Meriah

JOHOR BARU: Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2013, yang berlangsung di Dataran Bandaraya di sini, meriah dengan pelbagai acara kebudayaan masyarakat majmuk di negara ini, khususnya adat dan budaya kaum India.

Lebih 30,000 anggota masyarakat pelbagai lapisan umur hadir ke majlis anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor itu, yang bermatlamat memupuk perpaduan serta persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ia juga diadakan dengan objektif menyemarakkan semangat 1Malaysia, menjalin hubungan mesra antara pemimpin dan rakyat serta mengetengahkan tradisi menyambut Deepavali selain menjadi wadah pelancongan.

Ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke majlis itu disambut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz, Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pemimpin Barisan Nasional negeri.

Pelbagai persembahan kebudayaan memeriahkan suasana sambutan, antaranya tarian Selamat Datang oleh Kumpulan Artis Kebudayaan Negeri Johor dan tarian kesenian India oleh Kumpulan Temple Five Arts serta anak-anak Permata Seni Tari.

Pada majlis itu, Najib turut melengkapkan replika 'kolam' yang menjadi antara hiasan utama masyarakat India setiap kali menyambut pesta cahaya.

Orang ramai berpeluang menyaksikan pameran serta demonstrasi yang bermula sejak 2.30 petang dan antara aktiviti yang disediakan termasuk persembahan muzik dan tarian India, demonstrasi bunga malai, demonstrasi ikatan thoranum dan henna serta rangoli.

Pelbagai juadah istimewa dan kuih tradisional masyarakat India seperti muruku, masalavadei, laddu, putu mayam serta tosei turut disaji kepada pengunjung termasuk peserta MegaFam dari Singapura dan China.

Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2013 adalah antara enam acara sambutan perayaan terbesar peringkat nasional yang dianjur oleh kementerian berkenaan.

Selain Deepavali, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baharu Cina, MRTM Tadau Keaamatan, MRTM Gawai Dayak, MRTM Aidilfitri dan MRTM Krismas. - BERNAMA

Artikel Lain