suria

Pejabat Tourism Malaysia Di Turki Pelaburan Berharga - Nazri

ISTANBUL: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan datuk Seri Mohamed Nazri Abdul AZiz berkata pembukaan semula pejabat Tourism Malaysia di sini merupakan satu pelaburan berharga.

Beliau berkata ia juga mencerminkan kepentingan pasaran Turki kepada Malaysia.

"Kami gembira kembali semula ke negara Turki untuk memanfaatkan hubungan yang lama terjalin antara kedua-dua kerajaan dan pandangan positif mengenai pelancongan di bahagian dunia ini," katanya pada majlis perjumpaan dengan anggota golongan perdagangan pengembaraan Turki di sini.

Pejabat Tourism Malaysia dibuka di sini pada 2002 tetapi ditutup pada 2009. Ia dibuka semula pada 2011, diketuai pengarahnya Bahruddin Sulaiman.

Mohamed Nazri dalam misi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 di Turki, Romania dan London sehingga 5 November ini.

Malaysia menjangkakan menerima kedatangan 28 juta pelancong tahun depan dan Mohamed Nazri memberitahu hadirin: "Saya berharap anda dan kumpulan pelancongan anda menjadi sebahagian daripada 28 juta pelancong ini yang tidak sabar untuk kami sambut tahun depan".

Tetamu yang menghadiri majlis itu dijamu dengan pelbagai sajian istimewa Malaysia dan persembahan kebudayaan yang memukau.

Malaysia menerima 9,909 pelancong Turki tahun lepas dan menjangkakan menerima 10,300 orang tahun ini dan 11,000 pada 2014.

Sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan kebudayaan serta tarikan, beliau berkata Malaysia semestinya menepati cita rasa pelancong negara itu.

Beliau turut menyentuh perjanjian antara Malaysia dan Turki pada 2011 untuk menggugurkan semua keperluan visa, langkah yang akan menyokong dan memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara.

Mohamed Nazri berkata selain tarikan semula jadi, beliau turut mengambil kesempatan agar mereka merasai pengalaman membeli-belah di Malaysia seperti dibuktikan oleh kajian yang meliputi kawasan membeli-belah antarabangsa yang lain.

"Selain sebagai kota raya membeli-belah keempat terbaik dunia selepas New York, Tokyo dan London dalam kajian rangkaian berita global CNN, Kuala Lumpur juga disenaraikan sebagai destinasi membeli-belah kedua terbaik di Asia Pasifik oleh kajian Globe Shoppers Index," katanya.

Mohamed Nazri juga menyatakan Malaysia adalah destinasi pelancongan yang berbaloi kerana kosnya lebih rendah untuk menikmati percutian mewah. - BERNAMA

Artikel Lain