suria

Polis Tahan Pengusaha Bengkel Motosikal, Rampas Senjata Menyerupai M-16

MUAR: Polis menahan seorang pengusaha bengkel motosikal dan merampas selaras senjata yang menyerupai raifal M-16 dalam serbuan ke atas premis berkenaan di Jalan Haji Ahmad, Bakri dekat sini dua hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Sahadan Jaafar berkata suspek berumur 33 tahun itu ditahan pada kira-kira 7 pagi.

"Selain senjata terbabit, polis turut merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, dadah jenis syabu seberat 0.6 gram, sebuah komputer riba jenama Acer, lapan blok enjin motosikal dan sejumlah komponen kenderaan terbabit yang sudah dileraikan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata menerusi siasatan awal, suspek mendakwa senapang dan dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri namun siasatan lanjut sedang dijalankan berkaitan senjata itu.

Sahadan berkata ujian air kencing suspek, yang memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, menunjukkan dia positif syabu.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman dan polis kini berusaha mengenal pasti pemilik asal komponen motosikal itu.

"Polis turut percaya bengkel itu menjadi tempat untuk meleraikan komponen motosikal curi sebelum barangan terbabit dijual kepada pembeli," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain