Subsidi Bina Rumah Mampu Milik Wajar Diperluas Kepada Pemilik Tanah Persendirian - Semasa | mStar

Subsidi Bina Rumah Mampu Milik Wajar Diperluas Kepada Pemilik Tanah Persendirian

KUALA LUMPUR: Subsidi RM30,000 yang ditawarkan kepada pemaju perumahan swasta yang membina rumah mampu milik di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) harus diperluaskan kepada pemilik tanah persendirian.

Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa), yang menyarankan demikian, berkata insentif itu diyakini mampu menarik pemilik persendirian yang memiliki tanah kecil khususnya di kawasan bandar, untuk membina rumah berkenaan dalam skala kecil.

Sambil memberi contoh Kampung Baru di sini yang berpotensi besar untuk dibangunkan, beliau berkata ia antara kawasan yang wajar dipertimbang untuk diberi subsidi itu kerana ia mempunyai 880 lot dengan keluasan 92 hektar yang dimiliki 5,000 pewaris.

"Jika insentif ini diperluaskan, mungkin pemilik-pemilik tanah yang kecil ini boleh bina enam atau lapan unit rumah, sekaligus ini boleh membantu pembinaan lebih banyak rumah mampu milik," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2014 yang antara lain memperkenal Skim MyHome untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana dengan menawarkan subsidi RM30,000 seunit kepada pemaju swasta.

Beberapa kriteria ditetapkan untuk skim itu termasuk pemaju mesti membina sekurang-kurangnya 20 peratus rumah kos rendah dan 20 peratus rumah kos sederhana dalam satu projek perumahan.

Kriteria lain ialah penetapan harga jualan maksimum rumah kos rendah pada harga RM45,000 dan kos sederhana RM170,000.

Dalam pada itu, Johari turut menyarankan kerajaan supaya mewujudkan sistem pemantauan bagi pembinaan 223,000 unit rumah mampu milik oleh kerajaan dan swasta bagi memastikan ia mematuhi jangka masa dan kualiti ditetapkan.

Beliau turut menekankan pentingnya lokasi rumah mampu milik dibina berdekatan dengan infrastruktur pengangkutan seperti transit aliran ringan (LRT), komuter, monorel dan aliran transit massa (MRT).

"Tidak guna bina rumah mewah di sekitar kawasan yang ada infrastruktur sebab orang kaya tidak menggunakan kemudahan MRT. "Sebaliknya, bagi masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana, keperluan itu amat penting...ia akan menyebabkan kuasa beli golongan ini meningkat kerana mereka tidak perlu mengeluarkan duit petrol dan membayar ansuran kereta apabila tinggal berdekatan dengan stesen pengangkutan awam," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) supaya kerajaan memastikan rumah mampu milik tidak dijual semula dalam tempoh antara 10 hingga 20 tahun. -BERNAMA

Artikel Berikut

Tas Tangan Ahli Parlimen Batu Kawan Dicuri

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain