suria

Amuk Di Stesen LRT: Polis Tunggu Laporan Kesihatan Mental

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan kesihatan mental bagi menentukan sama ada seorang lelaki berusia 26 tahun yang bertindak menikam empat orang awam di stesen Putra LRT Gombak dan Taman Melati di sini Rabu lepas, mengalami gangguan mental.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata lelaki itu, yang menyebabkan dua orang awam terbunuh manakala dua lagi cedera parah, dijangka menjalani pemeriksaan sehingga 31 Oktober ini.

"Kita cuba menyoal siasat sesiapa sahaja yang berkaitan, termasuk anggota keluarganya sendiri serta mangsa yang cedera, dari semua sudut dan kini siasatan hanya perlu menunggu laporan doktor itu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Beliau berkata, suspek juga didapati positif dadah.

Suspek, yang berasal dari Felda Pemanis, Segamat, Johor diberkas orang ramai sekitar kawasan Jalan Tumbuhan bersama-sama sebilah pisau 'Rambo' selepas dikatakan melakukan jenayah itu dalam satu kejadian amuk berhampiran stesen Putra LRT berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain