suria

Muhyiddin Nasihat Pengundi Rasional Pilih Wakil Rakyat

YAN: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sekiranya pengundi di kawasan ini meletakkan kepentingan masa depan sebagai keutamaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada sebab pengundi Sungai Limau tidak boleh memberi peluang kepada BN sekiranya mereka menyedari bahawa wakil rakyat daripada parti pemerintah menjanjikan lebih kebaikan.

"Kena pertimbangkan siapa pemimpin dalam masyarakat yang diyakini boleh bantu kita... bukan soal ideologi sahaja tapi yang boleh buat kerja untuk bantu kita.

"Selepas Allahyarham ustaz Azizan meninggal dunia, kerusi ini perlu diganti. Itu (sumbangan Azizan) sejarah yang sudah berlalu, apa yang kita nak lihat sekarang ialah masa depan untuk majukan kawasan ini.

"Mungkin sebelum ini kita terasa terhutang budi dengan pemimpin dahulu, tapi elok juga kita lihat masa depan yang lebih terjamin," katanya.

Tegas Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berdasarkan pencapaian parti itu di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, beliau percaya perubahan boleh berlaku di Sungai Limau.

"Ada orang tanya buat apa saya datang sini (berkempen) kerana ini kawasan kubu kuat PAS, tak boleh menang.

"Tapi saya katakan bahawa Kedah pun dahulunya ditadbir PAS, tapi Alhamdulillah tuhan beri kita kemenangan untuk bentuk kerajaan.

"Walaupun dulu orang kata tak mungkin PAS akan tumbang, tapi dengan izin Allah mereka sudah diganti dengan Umno dan BN. Jadi tak mungkin di Sungai Limau ini BN tak boleh menang," katanya.

Artikel Lain