suria

Khairul Azwan Diumum Secara Rasmi Naib Ketua Pemuda Umno

KUALA LUMPUR: Khairul Azwan Harun pada Khamis diumum secara rasminya menang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pusat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

"Saya ingin membuat keputusan rasmi untuk jawatan Naib Ketua Pemuda Umno bahawa Khairul Azwan mendapat 76 undi manakala Jamawi Jaafar mendapat 73 undi," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh di Menara Dato' Onn di sini, Khamis.

Pada Rabu, Khairul Azwan diumum sebagai pemenang jawatan tersebut menerusi keputusan tidak rasmi setelah mendapat dua undi daripada pemilihan perwakilan Pemuda bahagian Gelang Patah, Johor dan Sabak Bernam, Selangor.

Keputusan jawatan Naib Ketua Pemuda tergantung apabila dua calon teratas jawatan itu, Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan, masing-masing memperoleh undi seri 73-73 pada pemilihan 12 Oktober lepas.

Bagaimanapun, jawatankuasa pemilihan memutuskan pemilihan semula diadakan di tiga bahagian iaitu Gelang Patah, Sabak Bernam dan Bachok, Kelantan berikutan timbul ketidakpuasan hati berhubung pemilihan asal dan kedua-dua calon tersebut juga bersetuju dengan pendirian jawatankuasa pemilihan itu.

Tajol Rosli kemudian menjelaskan, memandangkan Khairul Azwan telah memenangi pertandingan itu, maka Umno Bahagian Bachok tidak perlu mengadakan semula pemilihan dan satu surat telah diserahkan kepada bahagian tersebut.

Ditanya mengenai keseluruhan perjalanan pemilihan, Tajol Rosli dan Ab Rauf masing-masing berpuas hati dengan sistem baharu dan kaedah pengundian 'electoral college' yang pertama kali diguna pakai dalam pemilihan itu.

"Ia telah berjaya dilaksanakan walaupun ada peratusan kecil ketidaklicinan perjalanan tetapi keseluruhannya telah berjalan lancar," tegas Ab Rauf yang percaya proses pemilihan ini memperlihat momentum parti lebih ke hadapan berbanding parti poiltik lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf menarik perhatian jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi meneliti permasalahan dan bantahan yang timbul sepanjang perjalanan pemilihan lepas akan membuat bedah siasat tidak lama lagi.

"Saya akan berkhidmat sebaik mungkin dan akan cuba menjadi pelengkap parti,' kata Khairul Azwan ketika mengulas kemenangannya itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain