suria

Murid Tahun Enam Maut Kemalangan Di LPT

KUANTAN: Seorang murid perempuan Tahun Enam terbunuh selepas kereta yang dipandu bapanya terbabas di Km132.3 Lebuh raya Pantai Timur dekat Temerloh, Ahad.

Nur Amirah Awang, 12, dari Kampung Sri Puchong, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemangku Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata dalam nahas 4.45 petang itu, mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Dipercayai kereta jenis Nissan yang dipandu bapa mangsa terlanggar lopak air lalu terbabas ke dalam longkang dengan keempat-empat tayar ke atas," katanya di sini, Isnin.

Beliau berkata anggota keluarga mangsa yang lain turut cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. - BERNAMA

Artikel Lain