suria

Komala Umum Tidak Pertahan Jawatan Ketua Wanita MIC

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita MIC Kebangsaan Datin Komala Krishna Moorthy mengumumkan beliau tidak akan mempertahan jawatan itu pada pemilihan parti November depan.

Komala, yang telah bersama MIC selama 33 tahun, berkata setelah menerajui sayap parti selama dua penggal, masanya sudah tiba untuk memberi laluan kepada timbalannya Datin Dr C.V. Premakumari.

"Premakumari sudah berada dalam MIC selama 39 tahun dan saya yakin beliau dapat memikul tanggungjawab menerajui Wanita MIC berdasarkan pengalaman luas dalam politik," katanya pada majlis pengumuman Premakumari sebagai calon Ketua Wanita MIC pusat di ibu pejabat MIC di sini, Ahad.

"Sebagai seorang pengamal perubatan, saya berharap Premakumari juga dapat memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat India termasuk aspek kesihatan jika terpilih menjadi ketua sayap MIC ini," katanya.

Majlis itu dihadiri kira-kira 150 perwakilan termasuk beberapa ketua Wanita MIC negeri.

Dalam pada itu, Premakumari berkata beliau sudahpun menyatakan hasrat bertanding jawatan itu kepada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

"Dengan sokongan Komala dan pihak akar umbi, saya yakin dapat menggalas tanggungjawab ini dengan harapan para perwakilan akan memilih saya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain