suria

Esscom Tidak Lantik Mana-Mana Pihak Keluarkan Dokumen - Ketua Pengarah

LAHAD DATU: Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek menasihati penduduk di lima perkampungan air di Sandakan agar tidak terpedaya dengan pihak yang mendakwa dilantik oleh Esscom untuk mengeluarkan dokumen kepada mereka.

Mohammad berkata pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran pihak berkenaan di Kampung Setia, Kampung Forest, Good View, Kampung Muhibah dan Kampung Mangkalinau yang menjanjikan dokumen peribadi dengan bayaran sehingga RM200.

"Kita sudah mengenal pasti dua individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini. Kita akan panggil mereka bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan pelaburan Sabah (SEDIA) di sini Isnin.

Menurut Mohammad selain menjanjikan dokumen peribadi, pihak terbabit juga memberi jaminan kepada penduduk bahawa mereka tidak akan dipindahkan susulan bancian ke atas penduduk di situ bulan depan.

Mengenai bancian di lima kampung berkenaan, Mohammad menasihati penduduk supaya memberi kerjasama penuh kepada Esscom kerana tujuan bancian cuma untuk mengutip data demografi penduduk seperti jenis pekerjaan, pendapatan, warganegara dan bukan warganegara serta jenis dokumen yang mereka miliki.

Katanya penduduk lima petempatan atas air berkenaan tidak perlu bimbang kerana pihak berkuasa tidak akan melaksanakan operasi seperti penangkapan bagi yang tidak memiliki dokumen ketika bancian itu.

Katanya berdasarkan maklumat perangkaan, jumlah penduduk di lima perkampungan berkenaan dianggar 5,000 orang. - BERNAMA

Artikel Lain