suria

Buruh Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh Berhampiran Jejantas Pekan Senai

JOHOR BARU: Seorang buruh ditemui mati dengan kesan kecederaan teruk di kepala berhampiran jejantas Pekan Senai, dekat Kulaijaya, Ahad.

Mayat lelaki yang hanya dikenali sebagai Sahabudin, 22, itu ditemui terbaring di tepi jalan besar oleh orang awam pada pukul 3.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata terdapat kesan tetakan di jari dan lengan kanan, bahu serta kecederaan teruk di kepala lelaki itu yang bekerja di kilang besi buruk di Desa Idaman dekat Senai.

"Berdasarkan siasatan awal, polis mengesyaki dua lelaki rakyat Indonesia berkemungkinan terlibat dengan kes itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi ASP Mohd Zaki Ashar di talian 07-6632222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain