suria

Barisan MT Bertepatan Dengan Pilihan Pucuk Pimpinan Najib

KUALA LUMPUR: Para penganalisis politik berpendapat Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang mendapat mandat baru daripada akar umbi parti mampu menyumbangkan kepada agenda transformasi yang sedang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mandat langsung daripada seramai 146,500 perwakilan Umno kepada barisan MT itu sekali gus adalah bukti sokongan padu terhadap kepimpinan Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik berpendapat, lantaran itu setiap anggota MT perlu insaf bahawa terpikul ke atas bahu mereka untuk menyempurnakan agenda transformasi parti mahupun negara, sesuai dengan langkah berani Najib membawa Malaysia ke tahap negara berpendapatn tinggi dalam suasana harmoni dan sejahtera.

"Jika bagi Najib sebagai perdana menteri mahu rakyat didahulukan, maka bagi anggota MT pula selain menyempurnakan semboyan itu mereka juga diharap oleh akar umbi untuk mengutamakan rakyat khususnya orang Melayu, anggota Umno," kata penganalisis Dr Ibrahim Ghafar kepada Bernama.

Rata-rata penganalisis berpendapat suara perwakilan itu perlu dihormati dan dibalas dengan melaksanakan sebaik mungkin usaha mengembalikan semula kegemilangan parti termasuk menarik sokongan baru daripada rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Mohd Fuad Mat Jali berpendapat keputusan para perwakilan ini membuktikan mereka memberi mandat penuh kepada kepimpinan Najib.

Kenapakah muka-muka lama dipertahan dan terus diberi mandat baru?

Beliau berkata, walaupun kebanyakan anggota MT adalah muka lama, perwakilan percaya mereka mampu memimpin Umno dalam menentukan hala tuju parti secara khusus, dibantu oleh sebilangan muka baru yang dilantik.

"Kita lihat akar umbi parti masih memilih mereka…dan saya percaya ini berdasarkan prestasi yang telah mereka tunjukkan ketika berada dalam barisan kabinet.

"Mungkin orang luar merasakan, melalui keputusan yang baru dicapai ini, tidak ada sebarang pembaharuan yang perwakilan inginkan, tetapi mereka memilih berdasarkan pemerhatian yang mendalam dan saya rasa ini harus kita hormati," katanya.

Dalam keputusan rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2013 Tan SriTajol Rosli umumkan hari ini, seramai lapan Menteri dan lima Timbalan Menteri telah dipilih untuk menganggotai MT untuk penggal 2013/16.

Senarai itu didahului Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abd Rahman Dahlan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek dan Menteri di JPM Datuk Seri Shahidan Kasim.

Untuk Timbalan Menteri, mereka adalah Timbalan Perdana Menteri di JPM Datuk Razali Ibrahim; Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Kalid; Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Senada dengan Mohd Fuad, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia Prof Dr Jayum Jawan berkata keputusan pemilihan MT jelas menunjukkan pilihan kabinet Najib terbaik dan bertepatan dengan apa yang diinginkan akar umbi.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan Najib selaku Presiden Umno untuk memastikan anggota MT yang baru dapat mendokong transformasi seperti yang beliau rencanakan, dan keputusan perwakilan dilihat sebagai sokongan padu kepada hasrat beliau.

"Najib sangat mengharapkan sokongan ahli MT untuk mendokong dasar transformasi Umno. Jadi keputusan perwakilan membuktikan apa yang beliau rencanakan mendapat sokongan mereka," katanya.

Namun, Jayum berkata ini hanyalah langkah awal dalam proses pelaksanaan agenda Najib, dan tugas seterusnya dilihat lebih mencabar, apatah lagi dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum yang seterusnya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Azizul Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata pemilihan saf baru ini sekaligus menidakkan cakap-cakap kononnya jentera Kabinet 2013 tidak menampakkan sebarang pembaharuan atau mampu membawa perubahan besar untuk rakyat dan negara.

Beliau menarik perhatian bahawa pemilihan anggota MT ini mendapat restu dan sokongan akar umbi yang mahu kewibaaan daripada kabinet diterjemahkan ke dalam parti pula supaya lebih teguh sebagai tunggak Barisan Nasional (BN).

"Saya percaya perwakilan mahu saf kepimpinan parti ini menguatkan semula kepercayaan anggota parti yang lain dan mampu menyelesaikan segala permasalahan dalaman jika ada.

"Inilah masanya untuk parti memperkemas keluarganya selaku nadi di belakang BN sekaligus menjadi contoh kepada parti komponen," katanya.

Jelasnya, perwakilan percaya mereka yang dilantik ini mampu menghadapi serangan dan cabaran daripada pembangkang yang cuba menganggu-gugat kestabilan dan keharmonian parti selain menimbulkan sebarang isu-isu sensitif. - BERNAMA

Artikel Lain