suria

Mah, Teng Tanding Jawatan Presiden Gerakan

KUALA LUMPUR: Pemangku setiausaha agung Gerakan Datuk Mah Siew Keong akan dicabar pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow dalam pertandingan merebut jawatan presiden pada pemilihan parti itu Sabtu depan.

Jawatan itu kosong berikutan keengganan pemangku presiden Datuk Chang Ko Youn, yang menerajui Gerakan sejak Mei lepas, untuk mempertahankan jawatannya dan sekali gus, membuka laluan kepada pemimpin lebih muda untuk memimpin parti berkenaan.

Mah berusia 52 tahun dan Teng, 49 tahun. Pertandingan bagi jawatan timbalan presiden juga akan menyaksikan perlawanan satu lawan satu iaitu antara pengerusi Gerakan bahagian Kepong Ma Woei Chyi dan pengerusi Gerakan Kedah Dr Cheah Soon Hai.

Apabila proses pencalonan di Menara PGRM di sini berakhir pada tengah hari ini, enam calon disahkan akan bertanding bagi tiga jawatan naib presiden.

Mereka ialah Asharuddin Ahmad, Gordon Leong Vui Cheung, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff, A. Kohilan Pillay dan Teo Eng Tee. Kohilan merupakan satu-satunya penyandang kerusi itu.

Sementara itu, 39 calon akan bertanding bagi merebut 18 kerusi Jawatankuasa Pusat.

Sejumlah 2,298 anggota perwakilan kebangsaan layak mengundi dalam pemilihan parti itu tahun ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain