suria

Polis Georgetown Tahan 7 Lelaki Berhubung Kes Kecurian Cip Mikro

GEORGE TOWN: Polis menahan tujuh lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai lebih RM80,000 dari sebuah kilang di Bayan Lepas pada Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, suspek yang berusia antara 22 dan 32 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan berkenaan lebih daripada tiga kali sejak pertengahan tahun lepas sehingga awal tahun ini.

"Sebanyak 315 unit cip bernilai RM254 setiap satu telah dilaporkan hilang dalam tempoh berkenaan," katanya kepada pemberita, Isnin. Beliau menambah, hasil risikan dan maklumat awam, polis menahan seorang suspek di rumahnya di Alor Setar pada 3.30 pagi sebelum memberkas enam yang lain secara berasingan sekitar negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Abdul Rahim berkata, enam suspek merupakan pengawal keselamatan kilang berkenaan manakala seorang lagi bertindak sebagai pembeli yang menguruskan penjualan barang curi itu ke luar negara.

Beliau menjelaskan, susulan penahanan suspek, polis menemui 84 unit cip mikro yang dipercayai belum sempat dijual serta wang tunai berjumlah RM5,320.

Kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Pantau 'Cai' Senarai Calon

Artikel Lain