suria

Daun Ketum Diseludup Ke Thailand Kerana Harga Tinggi

KANGAR: Harga daun ketum yang tinggi di Thailand dipercayai menjadi punca daun itu banyak diseludup ke negara jiran.

Harga sekilogram daun ketum di Thailand dilaporkan mencecah RM80 sekilogram berbanding RM30 di pasaran tempatan.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata dalam kes terbaharu, unit itu merampas lapan guni daun ketum seberat 324 kilogram dianggarkan bernilai RM25,900 berhampiran pagar sempadan pada Jumaat.

Rampasan dilakukan kira-kira pukul 8 pagi selepas Unit Risik UPP Chuping melakukan pemantuan di kawasan ladang tebu Chuping dalam Ops Kawalan di pinggir pagar sempadan.

Semasa operasi itu, UPP terserempak dengan sebuah kenderaan yang mencurigakan dan ketika ditahan, pihaknya menemui lapan guni berisi daun ketum dalam kenderaan itu. Zakaria berkata pihaknya turut menahan pemandu kenderaan berkenaan dan seorang penunggang motosikal yang dipercayai menjadi penunjuk arah, masing-masing berumur 19 dan 30 tahun.

Pada Rabu lalu, UPP Chuping menahan seorang lelaki berusia 30-an dan merampas 60 kilogram daun ketum yang dibawa dengan motosikal di hadapan kilang gula Felda Cuping pada pukul 7.30 pagi.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan lain, UPP Chuping menahan 18 warga Myanmar yang sedang berjalan kaki dalam keadaan keletihan kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu di kawasan kebun sayur Kampung Hutan Buloh dekat sini.

Mereka yang ditahan berumur antara tujuh dan 41 tahun terdiri daripada enam lelaki, enam wanita dan enam kanak-kanak perempuan.

Zakaria berkata mereka dipercayai memasuki negara ini tanpa dokumen untuk mencari pekerjaan dan mencari saudara mara yang telah berada di negara ini.

Kesemua warga Myanmar itu diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. -BERNAMA

Artikel Lain