suria

Pengukuhan Sains, Teknologi Dan Inovasi Penting Untuk Kemajuan Negara - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melihat Jam Gajah Al-Jazari yang menjadi tarikan utama pada Pameran 1001 Inventions : Kegemilangan Tamadun Muslim. Para cendekiawan Muslim telah mencipta pemantau waktu inovatif untuk membantu memantau waktu untuk sembahyang, berpuasa, menyambut Hari Raya atau menunaikan ibadah haji sejak alaf lalu ketika melawat ke Pameran 1001 Inventions : Kegemilangan Tamadun Muslim selepas merasmikannya di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan anjakan itu memerlukan pengukuhan peranan sains, teknologi dan inovasi (STI) yang merupakan pemacu kepada kemajuan negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menyedari akan kepentingan STI dalam memacu pertumbuhan ekonomi, kerajaan telah, sedang dan akan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk membudayakan STI dalam kalangan masyarakat.

"Antara aspek kritikal untuk mencapai objektif-objektif tersebut ialah negara perlu mempunyai jumlah saintis dan jurutera penyelidik (RSE) yang mencukupi.

"Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang diluluskan kerajaan awal tahun ini mensasarkan pencapaian nisbah 72 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang tahun 2020, berbanding nisbah sekarang 58.2 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pameran 1001 Inventions: Kegemilangan Tamadun Muslim di Pusat Sains Negara (PSN) di sini Rabu.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dan Penaung 1001 Inventions berkata kemerosotan minat dalam bidang sains seolah-olah merupakan suatu fenomena kontemporari universal, ketika dunia bergerak ke era selepas pemodenan, yang turut dirasai Malaysia.

Berdasarkan laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera oleh Kementerian Pendidikan pada 2012, trend penurunan penyertaan dalam aliran sains dan teknologi telah bermula pada 2006, katanya.

Menurutnya, pada 2011, peratus pelajar aliran sains dan teknologi pada peringkat menengah hanya 44.01 peratus.

"Antara sebab masalah ini berlaku ialah persepsi negatif di kalangan pelajar terhadap mata pelajaran sains sejak mereka masih di bangku sekolah rendah lagi.

"Mata pelajaran sains dan matematik dianggap sukar dikuasai untuk lulus dengan cemerlang dan boleh menjejaskan peluang melanjutkan pengajian di universiti," katanya.

Muhyiddin berkata jika dijejaki asas kepada ciptaan moden kini yang merangkumi bidang kejuruteraan, tenaga hijau, matematik, perubatan dan seni bina, ia sebenarnya bermula semasa era tamadun Islam.

"Kita sedia maklum ketika zaman kegemilangan tamadun Islam, ramai cendekiawan dan tokoh ilmuan Islam terkenal telah dilahirkan dan mempelopori penemuan hebat dalam bidang yang diceburi.

"Sebagai contoh, ramai yang beranggapan bahawa adik-beradik Wright merupakan yang pertama menakluki langit pada 1903.

"Tetapi ramai yang tidak menyedari bahawa (cendekiawan dan tokoh ilmuan Islam) Abbas Ibnu Firnas terlebih dahulu melakukannya pada abad ke-9 dengan menggunakan 'sayap terbang' yang diperbuat daripada sutera dan bulu helang," katanya.

Mengenai pameran yang dibawa khas dari United Kingdom dan berada di PS Nsehingga Februari 2014 itu, Muhyiddin berkata ia dapat membuka minda dan memberi inspirasi kepada pelajar khususnya terhadap bidang STI.

Pameran itu dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang dan bayaran masuk ialah RM20 untuk dewasa, RM15 untuk kanak-kanak atau pelajar dan RM6 untuk warga emas dan prasekolah (4-6 tahun). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain