suria

Ku Li Serah Kepada Perwakilan Buat Keputusan

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak akan berkempen untuk mengekalkan jawatan Ketua Umno bahagian itu pada pemilihan parti bulan depan.

Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada perwakilan Umno untuk menentukan kedudukannya.

Katanya, keputusan untuk bersara daripada politik akan diputuskan apabila ada pengganti yang lebih baik daripadanya. "Tidak ada niat pula untuk saya nak tarik diri daripada mempertahankan jawatan. Perkara ini terpulanglah kepada perwakilan untuk membuat keputusan, saya tidak boleh tongkat langit kerana saya adalah orang biasa," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Khairat Kematian Paloh 1 Kali Ke 4 2013 di sini, Sabtu. Pada pemilihan parti kali ini, Tengku Razaleigh, atau Ku Li, dengan panggilan mesra, yang menerajui Umno bahagian itu sejak 1962, buat pertama kalinya bakal dicabar Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian, Datuk Bazlan Baharuddin. Ku Lu berkata beliau sudah memberi notis lebih awal untuk mencari bakal penggantinya menerajui Umno bahagian itu dan mungkin ada orang lain lebih baik untuk menyambung tugasnya.

"Oleh itu, eloklah saya bagi isyarat lebih awal untuk rakyat dan kepimpinan lain supaya bersiap mencari orang yang paling layak untuk diangkat sebagai pengganti saya," katanya.

Sepanjang perkhidmatannya untuk rakyat Hulu Kelantan, Tengku Razaleigh berkata beliau sudah membawa banyak pembangunan termasuk membuka rancangan tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Felda. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain