suria

AELB Sahkan Tiada Kebocoran Radioaktif di Kawasan Kargo KLIA

PUTRAJAYA: Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengesahkan tiada kebocoran radioaktif dikesan berlaku di kawasan kargo KL Airport Services Sdn Bhd, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarahnya Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan berkata perkara itu disahkan selepas pegawainya melakukan pemeriksaan selama hampir sejam di kawasan berkenaan. "Kita menerima panggilan daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba KLIA yang memaklumkan kepada kami mengenai kejadian itu pada pukul 12 tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati hanya satu daripada empat kotak mengandungi projektor delta-880 yang mengandungi bahan logam radioaktif jenis Iridium-192 didapati rosak dipercayai terkena air.

Empat kotak berisi bahan berkenaan adalah milik syarikat Altec Industrial & Engineering Supply Sdn. Bhd. "Hanya lapisan luar bungkusan sahaja yang rosak dan tidak menjejaskan projektor tersebut," katanya.

Raja Abdul Aziz berkata pihaknya akan menyiasat untuk mengenal pasti tempat asal berlakunya kerosakan pada kotak itu memandang ia dihantar melalui perkhidmatan kurier yang melalui tiga negara sebelum, sampai di Malaysia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain