suria

Pemilihan Semula CEC: Mahkamah Batalkan Saman David Das

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat membatalkan saman yang difailkan oleh seorang anggota DAP untuk menghalang parti itu daripada mengadakan kongres khas Ahad ini untuk memilih semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat seperti yang diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Hakim Datuk Rosnaini Saub dalam keputusannya turut menolak permohonan plaintif A. David Dass untuk mendapatkan perintah sementara menghalang parti itu daripada mengadakan pemilihan dan memerintahkan David Dass membayar kos RM5,000 kepada defendan.

Dalam keputusannya di dalam mahkamah yang dipenuhi kebanyakannya pemimpin DAP, beliau berkata Parlimen dalam kebijaksanaannya telah menggubal Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966 yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam keputusan sesebuah parti politik mengenai apa jua perkara berhubung hal ehwal parti.

"Saya dengan itu bersetuju dengan peguam defendan bahawa plaintif tidak mempunyai kes yang kukuh," kata Rosnaini.

"Mengenai perintah sementara yang dipohon plaintif, dengan membenarkan permohonan defendan membatalkan saman itu, permohonan bagi sebarang perintah sementara tidak mempunyai asas untuk dipertahankan," katanya.

Dalam reaksi segera terhadap keputusan mahkamah itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberitahu pemberita bahawa parti itu gembira dengan keputusan berkenaan.

Pengerusi DAP dan peguam utama defendan Karpal Singh berkata hakim setuju dengan hujah yang dikemukakan defendan bahawa sebarang keputusan yang dilakukan sesebuah parti politik adalah muktamad dan konklusif seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan.

Dass menamakan Lim dan DAP sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada 10 Sept dan telah memohon perintah untuk menghalang defendan daripada mengadakan pemilihan semula Ahad ini.

Beliau juga telah meminta satu pengisytiharan bahawa pemilihan parti itu hanya boleh diadakan melalui kongres kebangsaan dan parti itu harus memberi notis 10 minggu untuk mengadakan pemilihan dan notis untuk mengadakan kongres khas bertarikh 4 Sept diisytiharkan batal dan tidak sah.

Plaintif menuntut supaya parti itu memberitahu anggota 10 minggu sebelum mengadakan pemilihan parti dan DAP mengadakan pemilihan melalui kongres kebangsaan dan tidak mengadakan pemilihan dalam sebuah kongres khas. -BERNAMA

Artikel Lain