suria

Belia Asean Digalak Sertai Program Sukarelawan - Khairy

BANGI: Golongan belia Asean digalak menyertai program komuniti dan sukarelawan bagi meningkatkan pertukaran pengalaman, membangunkan keupayaan, mempertingkat pemahaman silang budaya dan menempa identiti serantau.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, belia Asean memainkan peranan penting bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian di rantau ini dan perlu mempunyai rasa prihatin bagi rakan di negara jiran antaranya termasuk kesedaran bagi memulihara alam sekitar.

Beliau berucap pada majlis sambutan program sulung Sukarelawan Belia Asean bertemakan "Pembangunan Pemimpin Eko Belia Asean melalui Penglibatan Sukarelawan dan Komuniti" di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, Jumaat.

Turut hadir naib canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, timbalan naib canselor UKM (Industri dan Perkongsian Komuniti) dan pengarah eksekutif program sukarelawan belia Asean, Prof Datuk Dr Saran Kaur Gill dan duta besar Amerika Syarikat ke Asean David L.Carden.

Mengenai program lima minggu Sukarelawan Asean itu, Khairy berkata, program itu merupakan satu kesedaran di kalangan generasi muda untuk datang dan bekerjasama melindungi alam sekitar.

Program itu dikongsi bersama kementerian, Sekretariat Asean dan Agensi Amerika Syarikat bagi Pembangunan Antarabangsa (USAID).

Para peserta program dihantar ke empat tapak kepelbagaian bio di Mersing, Johor; Kampung Dew, Perak; Setiu, Terengganu dan Taman Alam Kuala Selangor, Selangor untuk bekerjasama dengan masyarakat tempatan dan melaksanakan pendidikan alam sekitar dan inisiatif yang lain.

Program sukarelawan belia Asean ini merupakan satu instrumen bagi melahirkan peluang kepada belia Asean untuk bekerjasama dengan embantu masyarakat serantau, memperkukuh hubungan antara budaya dan menghasilkan identiti Asean yang kukuh selaras dengan Hala Tuju Strategik bagi Komuniti Asean 2009-2015 dalam artikel 5 di bawah komuniti sosiobudaya.

Katanya, program alam sekitar merupakan pendekatan terbaik bagi menjadikan rantau Asean sebagai kawasan yang bersih. - BERNAMA

Artikel Lain