suria

Insiden Bas Terbalik: Pemandu Maut, 16 Penumpang Selamat

ROMPIN: Seorang pemandu bas maut manakala 16 penumpang selamat apabila bas ekspres itu terbabas dan terbalik di Km158.9 Jalan Johor Baharu-Kuantan, di sini awal pagi Rabu.

Kejadian pada 5 pagi itu melibatkan bas yang dalam perjalanan dari Kota Baharu, Kelantan ke Pasir Gudang, Johor Baharu dan membawa 16 penumpang iaitu 10 lelaki dan enam wanita.

"Pemandu bas, Ismail Ali, 59, cedera parah di kepala dan maut di tempat kejadian setelah tersepit di bahagian hadapan bas," kata Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya.

Bercakap kepada pemberita di sini Rabu, beliau berkata siasatan awal mendapati bas berkenaan terbabas dan merempuh pembahagi jalan serta tiang lampu di hadapan stesen minyak Petronas Tanjung Gemok, sebelum terbalik dan melintang di tengah jalan.

Johari berkata 14 daripada 16 penumpang cedera ringan dan dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan.

"Siasatan awal juga mendapati pemandu bas itu memandu bersendirian tanpa pembantu pemandu," katanya.

Seorang penumpang yang ditemui, Ummi Kalthum Zulkifli, 25, berkata beliau tersedar daripada tidur apabila mendapati bas itu bergoyang sebelum terbabas.

"Saya naik bas di Bachok, Kelantan dan dari sana memang seorang pemandu sahaja yang memandu. Ada juga saya dengar penumpang lain kata bas dipandu laju.

"Saya duduk di kerusi perseorangan sebelah kiri dan tidur, dalam dua kali juga saya tersedar sebab rasa bas bergoyang seperti hendak terbabas," katanya.

Seorang lagi penumpang, Mohd Tajul Fikri Mahmud, 34, berkata beliau menaiki bas itu di Jerteh, Terengganu.

"Saya tertidur dan bila sedar sudah berada di luar bas. Bas hanya berhenti sekali di Cherating, Pahang sebelum meneruskan perjalanan," katanya yang bekerja sebagai guru di Pasir Gudang. - BERNAMA

Artikel Lain