suria

Hari Malaysia Ke-50 Disambut Meriah Penuh Warna-Warni

KUCHING: Sambutan ulang tahun ke-50 Hari Malaysia berlangsung penuh meriah dan berwarna-warni dengan ribuan rakyat tempatan serta warga asing hadir membanjiri Padang Merdeka di sini hari ini seawal 7 pagi untuk menyaksikan perarakan sambutan.

Sambutan dimulakan sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada 8 pagi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Lagu Negaraku kemudiannya dimainkan dan dua helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat sambil membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak serta 'smoke grenade', serentak dengan tembakan meriam 21 das oleh Rejimen Artileri Diraja dari Kem Penrissen.

Seri Paduka kemudian memeriksa Kawalan Kehormat Utama oleh Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Penrissen terdiri daripada empat pegawai dan 106 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Al Juharjie Muhamud.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh Zakaria Manan di depan Pentas Diraja diiringi 50 belia pelbagai suku kaum. Tayangan Video Khas '50 Tahun Jubli Emas Sarawak Harmoni Kemakmuran Dinikmati' dipersembahkan di tengah padang sebelum Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berucap.

Perdana menteri kemudian menyampaikan amanat Hari Malaysia sebelum perarakan kontinjen bermula.

Perarakan dan persembahan sambutan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Perarakan Kontinjen Berjalan Lalu, Perarakan Kontinjen Kenderaan dan Fly-Pass serta Persembahan Kebudayaan.

Perarakan Kontinjen Berjalan Lalu dibahagikan kepada enam segmen Segmen Pembawa Bendera, Segmen Belia Cergas Beruniform dan Berpendidikan, Segmen Sektor Perkhidmatan Awam, Segmen Sektor Swasta, Segmen Masyarakat Harmoni 1Malaysia dan Segmen Pertahanan Negara.

Perarakan Kontinjen Kenderaan dan Fly-Pass pula menampilkan segmen pelbagai jenis pengangkutan dan kenderaan, melibatkan sebuah lanca, beca roda tiga (empat), komuniti 'bikers' (50), skuter vespa (20), 'big bikers' (20), JPAM (dua), Bomba 'bike' (empat), PDRM 'bike' (empat), ATM 'bike' (empat), VW (10), Pos (satu), TM (satu), 'supercar' (10), Bomba (empat) dan ATM (dua).

Perarakan Kontinjen Kenderaan dan Fly-Pass turut melibatkan persembahan udara melibatkan dua helikopter Nuri No 7 Skuadron, Helikopter Hornbill Skyways EC135 (tiga), TUDM CN235 (dua), pesawat pejuang Sukhoi SU30MKM (empat), dan Hawk No 6 Skuadron (empat).

Kemuncak perarakan hampir tiga jam itu adalah persembahan kebudayaan, tarian dan nyanyian bertemakan 'Sarawak Harmoni Kemakmuran Dinikmati' melibatkan 1,500 peserta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AES Diserah Kepada PDRM

Artikel Lain