suria

Madius Turut Mahu Tanding Jawatan Timbalan Presiden Upko

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Madius Tangau turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan Oktober ini.

Madius berkata beliau membuat keputusan itu setelah mempertimbang pelbagai faktor seperti sokongan dari akar umbi terutama pemimpin bahagian.

"Saya ingin membuat pengumuman bahawa saya sebagai setiausaha agung Upko menawar diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

"Saya membuat keputusan ini sejak lama dahulu selepas mendapat nasihat pemimpin-pemimpin kanan parti dan sokongan daripada ketua-ketua bahagian. Kini terpulang kepada mereka untuk mencalon atau tidak saya sebagai timbalan presiden Upko," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung tahunan bahagian Penampang di Wisma Pertanian di sini Ahad.

Ia dirasmikan presiden parti Tan Sri Bernard Dompok.

Madius yang juga Anggota Parlimen Tuaran berkata beliau perlu mendapat sekurang-kurang lapan pencalonan daripada 23 bahagian yang layak untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan, bagi layak bertanding.

Pada Sabtu, Naib Presiden Datuk Dr Ewon Ebin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dilapor turut menawar diri untuk bertanding jawatan tersebut.

Jawatan itu kini kosong selepas Datuk Wilfred Bumburing keluar parti dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah serta bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat di kerusi Parlimen Tuaran dan kerusi Dewan Undangan Negeri Tamparuli pada pilihan raya umum lalu.

Dompok dijangka kekal sebagai presidean selepas majoriti peringkat bahagian tidak mahu jawatan tersebut dipertandingkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain