suria

Othman Hashim Dilantik KSU Kementerian Luar Yang Baharu

Othman Hashim
Othman Hashim
Othman Hashim

KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Othman Hashim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Pelantikan Othman, 58, ialah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Ogos.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan Othman khususnya dalam hubungan luar negara semasa memegang jawatan berkaitan dalam kementerian itu.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki beliau akan membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Kementerian Luar Negeri dalam memastikan kepentingan hubungan luar dan kedaulatan Malaysia sentiasa terpelihara.

"Selain itu, melalui pendekatan diplomasi yang proaktif, saya berkeyakinan penuh beliau akan dapat melaksanakan strategi pemasaran dan penjenamaan Malaysia di luar negara dengan lebih efektif selain dapat menyatakan pandangan Malaysia dalam isu-isu di peringkat antarabangsa dengan jelas," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Ali melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Radzi di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang perkhidmatan khususnya semasa tiga tahun perkhidmatan beliau sebagai KSU di kementerian berkenaan.

Othman yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya mula menyertai perkhimatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 26 November 1979 dan telah berkhidmat selama 33 tahun.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada tahun 2009 sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika pada Februari tahun lalu.

Othman juga pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiauasaha (TKSU) di bahagian (Hubungan Dua Hala) dan TKSU di bahagian (Khidmat Pengurusan), Kementerian Luar selain Setiausaha Bahagian (Perancangan Dasar) di kementerian yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain