suria

KJ: Terdapat Semangat Keakraban Yang Tinggi Di Kalangan Pemimpin-Pemimpin Pakatan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin percaya, terdapat semangat keakraban di kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

"Walaupun Pakatan bukanlah sebuah gabungan dalam ertikata yang sebenar, tetapi mereka kelihatan sentiasa bersama-sama dan senada.

"Ini dapat dilihat di ceramah-ceramah yang mereka anjurkan di mana boleh dikatakan pada kebanyakan masa, kesemua pemimpin mereka akan turut bersama. Semangat ini adalah sesuatu yang harus dipuji dan dihormati," katanya.

Khairy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan para peserta pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Pelajar Malaysia Yang Ke-Tujuh tentang tiga perkara yang dia sukai tentang Pakatan.

Di samping itu, Khairy juga berkata yang dia lihat terdapat ruang yang luas yang diberikan oleh Pakatan kepada generasi muda.

"Ini dapat dilihat dari sudut pemilihan calon-calon, mereka membuka ruang yang luas untuk pemimpin muda tampil ke hadapan untuk memimpin," ujarnya lagi.

Kualiti ketiga yang ditonjolkan oleh Pakatan kata Khairy ialah penggunaan sosial media yang meluas.

"Mereka bercakap dalam bahasa yang orang muda fahami," katanya sambil menambah bagaimanapun Pakatan hanya berada lebih sedikit sahaja di hadapan dalam aspek itu berbanding Barisan Nasional (BN).

Artikel Lain