suria

Pejabat Perdana Menteri Nafi Adakan Perbincangan Kerajaan Perpaduan Dengan Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu kerajaan perpaduan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, PMO menegaskan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan tidak mungkin berlaku selagi pihak pembangkang terutama Anwar serta kepimpinan Pakatan Pembangkang sehingga kini masih tidak dapat menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 dan mempertikai keputusan tersebut.

Beberapa portal berita memetik Anwar telah mengesahkan adanya usaha yang dilakukan oleh Najib ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan merupakan satu "kenyataan politik yang berniat nakal".

Kenyataan itu menyebut, usaha yang dilakukan oleh bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla sebelum PRU-13 bagi mendapat persetujuan Najib dan Anwar agar mengelak daripada menyerang antara satu sama lain dan menerima keputusan pilihan raya merupakan satu-satunya perjanjian politik yang ada.

Menurut Jusuf Kalla, Anwar telah berhubung dengan beliau sebelum PRU-13 bagi mendapatkan perjanjian politik tersebut dari Najib agar menghormati keputusan rakyat yang mana telah dipersetujui oleh Perdana Menteri.

Namun, Anwar enggan berbuat demikian kerana mendakwa berlaku penipuan dalam proses PRU-13. Oleh itu, kenyataan Anwar mengesahkan adanya usaha baru ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan merupakan satu "ciptaan dan rekaan" bagi kepentingan politik pembangkang khususnya ketuanya.

Artikel Lain