suria

Dua Penumpang Samun Pemandu Teksi Genting Highlands

KUANTAN: Seorang pemandu teksi disamun dua lelaki yang menyamar sebagai penumpang sebelum melarikan kenderaannya dan wang tunai RM550 dekat Goh Tong Jaya, Genting Highlands, pada Isnin.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, pemandu teksi berusia 68 tahun itu mengambil dua penumpang itu di Pudu Sentral, Kuala Lumpur untuk ke Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong, DSP Mohd Nor Mansur berkata, semasa melalui selekoh di situ, seorang suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau.

"Suspek mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum mengarahkan pemandu teksi berhenti dan bertindak merampas kunci kereta.

"Suspek turut mengambil beg duit mangsa yang mengandungi kad pengenalan mangsa dan wang tunai RM550," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan teksi itu dan meninggalkan mangsa sendirian di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya teksi mangsa ditemui ditinggalkan di KM 13.3 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur kira-kira 10.40 malam Isnin. - BERNAMA

Artikel Lain