suria

Kastam Kedah Rampas Dadah Bernilai RM1.8 Juta

ALOR SETAR Kastam Kedah merampas dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.8 juta dalam kes berasingan dan menahan seorang lelaki warga Afrika Selatan di Langkawi pada 20 dan 21 Julai lepas.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata dalam kes pertama, pasukannya menemui sebuah beg berwarna biru mencurigakan di jeti Kuah, Langkawi pada 4.30 petang, 20 Julai lalu.

"Ketika pemeriksaan, terdapat sebuah beg hitam yang lain dalam beg biru itu dan di dalamnya terdapat dua bungkusan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 4.295 kilogram dianggarkan bernilai RM816,050. Namun tiada suspek ditahan," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Dalam kes kedua, seorang lelaki Afrika Selatan berumur 43 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 9 malam Ahad lalu selepas kastam menemui dua bungkusan hitam mengandungi hablur kristal putih disyaki dadah berbahaya seberat 5.3 kilogram dalam beg suspek.

Abd Aziz berkata dadah jenis syabu yang ditemui dalam beg lelaki itu dianggarkan bernilai RM1.008 juta dan dipercayai untuk pasaran utara tanah air.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang transit di Singapura sebelum masuk ke negara ini, melawat Langkawi buat kali pertama.

Katanya suspek direman tujuh hari bermula 21 Julai. - BERNAMA

Artikel Lain