suria

Kes Alvin Tan & Vivian Bakal Menentukan Apakah Internet Memiliki Kuasa Kebebasan Mutlak

SETIAP era melahirkan satu fenomena baru. Ia muncul bersama inovasi dan penciptaan baru.

Suatu ketika dahulu, pada era komputer, internet dan telefon bimbit belum menjadi sebahagian daripada tatacara kehidupan, kita tidak pernah mendengar permasalahan hasil daripada tingkah laku ekstrem sepertimana yang ditunjukkan oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee.

Komputer dan internet lah yang telah memungkinkan ini menjadi satu fenomena baru dalam kehidupan seharian kita.

Kedua-dua medium untuk berkomunikasi itu telah memungkinkan perbuatan ekstrem dan budaya baru muncul di rumah anda atau perkakasan elektronik dan gajet anda di mana sahaja anda berada selagi anda dapat mengakses internet.

Yang dapat menyelamatkan manusia daripada menjadi alat kepada dunia yang tiada batasan ini ialah akal fikiran dan kewarasan.

Malah undang-undang sekali pun tidak dapat menghalang dan membendung manusia daripada melakukan sesuatu yang di luar kewarasan akal fikiran.

Jika tidak, masakan Alvin Tan yang merupakan seorang pelajar undang-undang di sebuah universiti terkemuka di Singapura tidak menyedari atau naif akan perbuatan serta tindak-tanduknya boleh membawa musibah dan tindakan undang-undang.

Tetapi dia dan pasangannya tetap melakukannya. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Mereka seperti...tidak, mungkin bukan seperti tetapi telah mencabar undang-undang.

Mula-mula dengan memuat naikkan adegan bogel mereka di dalam youtube dan yang terbaru dengan mempersendakan amalan berpuasa dan bulan Ramadan dalam bentuk dan provokasi yang paling ekstrem.

Perbuatan mereka adalah di luar kewarasan seorang manusia normal. Mereka tidak memperdulikan amalan dan budaya mahupun perasaan orang lain. Malah mereka seperti remaja yang tiada adab, kesopanan dan kesusilaan.

Mereka mempersendakan diri mereka sendiri dan juga masyarakat. Mereka tidak peduli.

Rasa-rasanya belum pernah lagi umat Islam di negara ini diprovokasi sebegitu rupa.

Jadi, oleh kerana mereka tidak takut kepada undang-undang mahupun rasa bersalah melakukan perbuatan seperti itu secara terbuka, kita hendak lihat, sejauh manakah tindakan undang-undang dapat diambil ke atas mereka.

Malah kita ternanti-nanti, apakah perbuatan seumpama itu boleh disabitkan di bawah mana-mana hukuman atau undang-undang.

Di bawah undang-undang yang sedia ada mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Lain