suria

Kerajaan Komited Selesai Isu Pelajar Gagal Dapat Tempat di IPTA - Kamalanathan

PUTRAJAYA: Kerajaan komited menyelesaikan isu pelajar yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2013/2014, dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan yakin isu yang mendapat pelbagai reaksi termasuk pelajar, ibu bapa dan pemimpin politik itu akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Kabinet minggu ini untuk mencari penyelesaian munasabah.

"Kerajaan akan cuba sedaya upaya membantu mereka...lebih kurang 18,222 pelajar yang tidak berjaya ditempatkan di mana-mana universiti, kita telah membuka laluan bagi mereka untuk membuat rayuan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Terdahulu, beliau dan rakan sejawat dari Namibia Dr David R. Namwandi menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Namibia Students Financial Assistance Fund.

MoA itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Musa dan Duta Namibia ke Malaysia Gebhard B. Kandanga. Dengan MoA itu, kumpulan pertama seramai 70 pelajar Namibia akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat) selama empat tahun di UPSI mulai September ini.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata Malaysia berhasrat menjadi pusat kecemerlangan pengajian tinggi peringkat antarabangsa dengan menyasarkan 150,000 pelajar asing pada 2015 dan 200,000 pelajar menjelang 2020 di IPT tempatan.

Bagi mencapai sasaran tersebut, beliau menggesa semua IPT di negara ini meningkatkan kualiti dalam semua aspek termasuk pendidikan, pengurusan, dan tajaan untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa sekali gus menarik minat pelajar luar negara.

Katanya, IPT tempatan juga perlu memperbanyakkan usaha sama dengan negara luar bagi membangunkan program tertentu untuk menarik minat pelajar antarabangsa.

"Perkara ini penting kerana Malaysia akan menjadi tumpuan pendidikan di mata dunia selain mampu meningkatkan semangat pelajar tempatan untuk menyaingi pelajar antarabangsa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain