suria

Dua Pemandu Lori Didakwa Bunuh Rakan Sekerja

KUANTAN: Dua pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Khamis terhadap pertuduhan membunuh rakan sekerja mereka, bulan lepas.

Khairul Jasmi Abdul Majid, 33, dari Lorong Sungai Isap Perdana 20, di sini dan Mohd Amir Adzhar Hassan, 29, dari Felda Chini 4, Pekan, didakwa membunuh Mohd Zainuddin Mohd Yusoff, 42, antara 12 tengah hari dan 12.20 tengah hari di kawasan lapang berhampiran Stesen Minyak Shell Jalan Kuantan-Bypass, Kampung Chendering, di sini pada 27 Jun lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 Ogos.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari.

Media sebelum ini melaporkan mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai dipukul dengan objek keras. - BERNAMA

Artikel Lain