suria

Calon BN Kuala Besut Guna Kempen Kelompok

BESUT: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yakin pendekatan berkempen secara berkelompok merupakan kaedah terbaik untuk mendekati pengundi.

Menurut bekas jurutera awam itu, strategi berkenaan dilihat lebih berkesan terutama apabila proses berkempen berlangsung ketika umat Islam sedang berpuasa.

"Kaedah begini saya lihat lebih berkesan terutama dalam mengeratkan hubungan dengan rakyat.

"Program turun padang dan sentuhan peribadi seperti ini adalah penting untuk dapatkan keyakinan rakyat tentang keberkesanan serta kesungguhan BN membantu rakyat," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi Pulau Perhentian di sini, Khamis.

Terdapat seramai 734 pengundi berdaftar di Pulau Perhentian iaitu kira-kira empat peratus daripada 17,679 pengundi DUN Kuala Besut.

Tengku Zaihan akan berhadapan dengan calon PAS yang juga seorang kontraktor, Endut @ Azlan Yusof atau lebih dikenali dengan panggilan 'Che Long'.

Mengulas mengenai bidang politik yang baru disertainya selepas dipilih menjadi calon pilihan raya, Tengku Zaihan akui beliau tidak menjangkakan perubahan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya kedua-dua bidang tersebut mempunyai matlamat yang sama iaitu membantu rakyat.

"Semua ini ketentuan Allah. Tapi sama ada di bidang perkhidmatan awam atau politik, niat saya untuk berkhidmat kepada rakyat...cuma platform berbeza," katanya.

Artikel Lain