suria

Malaysia Belum Terima Keputusan Rasmi Pengurangan Kuota Jemaah Haji

KUALA LUMPUR: Malaysia masih belum menerima keputusan rasmi berhubung pengurangan 20 peratus kuota jemaah haji negara tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berikutan itu, katanya Lembaga Tabung Haji (TH) belum boleh mengeluarkan senarai akhir jemaah haji Malaysia tahun ini.

"Kuota jemaah haji merupakan hak mutlak kerajaan Arab Saudi. Selagi mana kerajaan Aran Saudi tidak mengeluarkan hitam putih, maksud saya kuota yang sebenar, maka kita tidak boleh bergerak melebihi landasan.

"Sebab itu, pada setiap tahun kita ambil pendekatan untuk menunggu hingga sampai saat terakhir kuota jemaah haji dikeluarkan dalam bentuk hitam putih daripada Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan TH kepada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persukutuan di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam yang melaporkan Indonesia menuntut pampasan daripada Arab Saudi berikutan kerugian yang ditanggung selepas Riyadh mengurangkan kuota jemaah haji sehingga 20 peratus tahun ini.

Jamil Khir berkata, Malaysia tidak bercadang menuntut ganti rugi daripada kerajaan Arab Saudi jika ada pengurangan kuota jemaah haji.

Ini kerana Malaysia mengamalkan pendekatan pengurusan ibadat haji yang begitu kukuh menerusi konsep kerajaan dengan kerajaan iaitu hanya satu badan yang mengeluarkan visa haji daripada kerajaan Arab Saudi kepada TH.

"Tetapi kebanyakan negara mengeluarkan visa haji dari kedutaan kepada pelbagai kelompok dan agensi yang urus jemaah haji juga banyak berikutan tiada pengawalan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata umat Islam semakin menyedari tanggungjawab menunaikan zakat apabila kutipan zakat di Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan 15 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Kutipan zakat bagi Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan jumlah RM171 juta berbanding RM150 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas. Ini satu trend yang mmberangsangkan bagi Wilayah Persekutuan dan menggambarkan kekuatan ekonomi umat Islam negara ini semakin berkembang," katanya.

Sehubungan itu, Jamil Khir mensasarkan tambahan RM100 juta lagi kutipan zakat sehingga penghujung Disember tahun ini.

Pada majlis itu, TH menyerahkan zakat perniagaan kepada Pusat Pungutan Zakat berjumlah RM4,274,611.38 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Paduka Ismee Ismail kepada Jamil Khir.

Pengagihan zakat perniagaan TH itu adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan TH untuk tahun kewangan 2012.

Ismee berkata, jumlah zakat untuk Wilayah Persekutuan bagi 2012 meningkat sebanyak 11 peratus berbanding RM3,851,588.72 bagi 2011.

"Peningkatan ini berikutan keuntungan Tabung Haji 2012 yang meningkat menjangkaui lebih dua bilion dan jumlah dana yang disimpan pendeposit di seluruh negara turut telah meningkat melebihi RM40.2 bilion," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain