suria

Kastam Rampas Lapan Senjata Tiruan Tanpa Permit

IPOH: Lapan senjata tiruan yang diimport tanpa permit dari luar negara di rampas dalam pemeriksaan di Pejabat Pos Besar di sini, Sabtu lepas.

Antara senjata itu ialah M16, MP5, Air Rifle, pistol Glock dan Colt 45 automatik, kata Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Mohd Nasir Said.

Beliau berkata, susulan rampasan pada pukul 12 tengah hari itu, pihaknya menahan remaja lelaki berusia 15 tahun kerana disyaki terlibat dalam pembelian lima daripada senjata itu.

"Lima senjata tiruan berkualiti tinggi itu dianggar bernilai RM2,043.90 dan duti terlibat ialah RM878.88. Kesemua senjata itu menyerupai senjata sebenar tetapi menggunakan peluru getah manakala Air Rifle itu menggunakan peluru tembaga.

"Remaja yang masih bersekolah itu telah dilepaskan dengan jaminan di bawah Seksyen 116 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Mohd Nasir berkata, Kastam Perak sedang menyiasat individu yang terlibat dalam pembelian tiga lagi senjata yang dirampas itu.

Dalam kes berasingan, Mohd Nasir berkata seorang lelaki ditahan di Kompleks Imigresen Bukit Berapit, Pengkalan Hulu kerana memiliki senjata tiruan jenis Air Rifle dengan anggaran nilai sebanyak RM758.58 yang melibatkan cukai sebanyak RM303.43. - BERNAMA

Artikel Lain